Wednesday, September 4, 2013

Pelajar-pelajar KYPJ Menyambut Hari Kebangsaan

video

Kolej Komuniti YPJ Kluang Beroperasi Semula



KLUANG - Kolej Komuniti Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) Kluang kembali dibuka untuk sesi pengajian selepas tertangguh sejak 10 tahun lalu. Pembukaan semula kolej itu sejajar dengan cadangan yang diutarakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md Jais Sarday.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ, Abd Halim Shukor berkata, untuk permulaan, pihaknya menganjurkan Kursus Juruteknik melibatkan 31 pelajar di bawah pensijilan Jabatan Pembangunan Komuniti pada awal Ogos lalu. “Manakala kursus kedua yang akan diadakan pada penghujung September ini adalah Kursus Wireman dan Chargeman di bawah pensijilan Suruhanjaya Tenaga.


“Selain itu, penyediaan penginapan asrama kepada pelajar yang tinggal jauh dari bandar ini dan boleh menampung sehingga 100 orang pada bila-bila masa dapat memudahkan mereka untuk datang menjalani kursus di sini,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya anjuran YPJ bersama peserta kursus di YPJ Kluang, di sini, semalam.


Abd Halim berkata, kursus ditawarkan kolej YPJ terbuka kepada semua golongan dalam lingkungan umur 21 hingga 58 tahun dengan mempunyai kesihatan yang baik, boleh membaca dan menulis. Katanya, Kumpulan Pendidikan YPJ membuka peluang kemahiran kepada semua golongan dan bukan berfokus pada golongan belia sahaja. “Keistimewaan berkursus di sini adalah semua kos dibiayai oleh pinjaman daripada Tabung Pembangunan Kemanusiaan di bawah Kementerian Sumber Manusia sekiranya diperlukan oleh pelajar.


“Mereka yang bekerja dalam kursus yang disediakan amat dialu-alukan kerana dengan cara ini dapat membantu pelajar terbabit memahami lebih mendalam tentang kursus mereka,” katanya.
Abd Halim turut memaklumkan bahawa pada masa ini, hanya dua kursus dijalankan di YPJ Kluang, namun pihaknya juga menerima peserta kursus yang dibiayai oleh kerajaan negeri dan kebanyakannya adalah kursus jangka pendek.



Artikel asal : http://www.sinarharian.com.my/kolej-komuniti-ypj-beroperasi-semula-1.198210