Monday, April 25, 2011

Surat daripada lepasanspm.com

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Sebenarnya, hari ini saya ingin berkongsikan satu topik, iaitu.. “Destinasi Sebenar Anda Selepas SPM 2010”?


Ramai di antara rakan - rakan pelajar kita yang sebelum ini dah berjaya melanjutkan pelajaran ke dalam bidang yang diminati. Selain dari kelayakan serta keputusan cemerlang yang mereka terima, mereka juga cepat mengambil tahu tentang maklumat permohonan kerjaya.Mereka dahulupun sentiasa tertanya-tanya ke mana ye saya nak pergi selepas SPM ni?
Dan kebanyakan mereka yang berjaya juga sentiasa mengambil tahu peluang dan permohonan kerjaya melalui media massa, buku panduan kerjaya yang TERKINI, surat khabar dan seumpamanya pelajar yang berjaya ialah pelajar yang banyak bertanya tentang status kerjaya dari semasa ke semasa.

DESTINASI ANDA SELEPAS SPM 2010
Kebanyakan pelajar lepasan SPM masih tercari-cari hala tuju masing-masing. Sukar untuk membuat keputusan tepat yang bakal menentukan masa depan sendiri. Di sini apa kata anda baca sedikit mengenai pilihan kerjaya anda selepas SPM.

1. Universiti
Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang bolehlah memilih universiti sebagai destinasi mereka selepas SPM. Jika anda ingin ke universiti, anda harus memohon UPU lepasan SPM/setaraf sebelum ditawarkan program diploma atau asasi di mana-mana IPTA di Malaysia.

2. Kolej Matrikulasi
Sekiranya anda gagal mendapat program asasi melalui UPU, janganlah bersedih. Anda masih boleh membuat program foundation atau pengajian asas di matrikulasi dalam bidang Sains Hayat, Sains Fizikal atau Perakaunan.

Sama saja dengan asasi. Selepas matrik, boleh apply UPU lagi untuk lepasan STPM/setaraf di mana anda akan memilih course untuk pengajian ijazah anda. Matrik ada yang programnya setahun dan ada yang dua tahun bergantung kepada keputusan SPM anda.

3. Luar Negara
Pelajar-pelajar yang mendapat biasiswa akan melanjutkan pelajaran di luar negara. UK, US, Australia, New Zealand, Indonesia, India, Japan, Korea, France, Egypt, Russia, Ireland dan Canada antara negara-negara yang menjadi pilihan pelajar-pelajar Malaysia.

4. Politeknik dan apa jua Program Teknikal dan Latihan.
Jangan berputus asa sekiranya anda gagal UPU dan matrik. Anda masih boleh melanjutkan pelajaran di politeknik-politeknik seluruh Malaysia. Bila dah dapat result SPM, mohon cepat-cepat sebelum tutup tarikh permohonan.

Di politeknik, anda boleh mohon sijil atau diploma. Dengar-dengar ada 3 politeknik yang bakal dinaik taraf menjadi universiti. Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) antara politeknik yang bagus dari segi akademiknya. Banyak juga program yang ditawarkan di ILP dan ILJTM, MLPK dan sebagainya.

5. Kolej-kolej
Kalau beli newspaper sekarang ni, banyak iklan-iklan kolej swasta. Tapi kena pandai pilihlah kolej mana yang bagus. Kalau nak sangat masuk kolej, saya rekemenkan anda semak lama web MQA dan juga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Nanti masuk kolej yang tak diiktiraf MQA (dahulunya LAN), susah nak dapat kerja. Buatlah pilihan yang bijak.

6. Tingkatan 6
Ramai pelajar lepasan SPM menjadikan tingkatan 6 sebagai destinasi terakhir mereka selepas SPM. Kenapa tingkatan 6 kurang popular? Bila masuk tingkatan 6, rasa macam budak-budak sekolah lagi kan?

Kena pakai uniform sekolah, kena pergi ke sekolah, ada perhimpunan dan sebagainya. Tak macam di universiti, matrikulasi atau kolej yang ada sedikit kelonggaran.

Tapi sedar tak sedar, STPM juga berharga sebenarnya. Kalau mohon UPU untuk STPM/setaraf, pelajar-pelajar lepasan STPM diberi keutamaan dulu berbanding pelajar-pelajar lepasan diploma dan matrikulasi.

7. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)
Ramai yang tidak tahu kewujudan website SPA dan ada juga yang tak tahu langsung pasal SPA ini. SPA ni boleh anda mohon kerja-kerja tertentu seperti jururawat, juru x-ray, juruaudit, juruukur dan sebagainya.

Jika permohonan anda berjaya, anda akan ditemuduga. Lulus temuduga barulah anda akan ditawarkan melanjutkan pengajian di kolej-kolej kejururawatan. Untuk kerja selain jururawat, saya tak berapa pasti.

8. ALAM
Sesiapa yang berminat untuk melibatkan diri dengan dunia pekerjaan yang lebih mencabar, bolehlah mohon Akademi Laut Malaysia (ALAM).

9. Kursus Ketenteraan
Bagi sesiapa yang berminat dengan aktiviti lasak serta tahan dengan cabaran dan dugaan fizikal yang tinggi, bolehlah membuat permohonan ini. Terdapat banyak caranya dan anda boleh rujuk di laman web atau buku panduan kerjaya yang TERKINI yang berdekatan dengan anda.

10. Kursus Penerbangan
Mesti ramai yang berminat dengan kursus ini.Kursus ini merangkumi kerjaya seperti juruterbang, pramugara, pramugari dan ahli-ahli biasa di kawasan lapangan penerbangan. Kerjaya seperti juruterbang, pramugari dan pramugara ini lebih kepada di awangan biru manakala ahli biasa lebih kepada proses teknikal di kawasan lapangan penerbangan.

11. IPG
Bagi mereka yang berminat menceburi bidang perguruan bolehlah memohon kerjaya ini. Kerjaya ini sememangnya menjanjikan kepuasan kerana kita dapat berbakti kepada anak bangsa kelak. Walaupun agak mencabar serta bebanan tugas yang bakal ditempuhi, perkara ini umpama seperti alah bisa tegal biasa. Jadi bekerjalah dalam mendidik anak bangsa sehingga berjaya dan berguna untuk masyarakat dan negara kelak.

Akhir Kata
Dalam pada pelajar berusaha membuat perbandingan tentang kursus pengajian, ayuh amalkan juga solat istikharah serta sentiasa berdoa semoga Allah memberikan ilham untuk kita membuat keputusan terbaik yang diharapkan dapat membawa kebaikan kepada kehidupan kita di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Selain itu, tanamkan niat dalam diri untuk menjadikan kerjaya yang bakal dibina sebagai satu perjuangan dalam usaha memenuhi tuntutan fardu kifayah terhadap umat Islam. Umat Islam masa kini sememangnya memerlukan ramai pakar dalam segenap bidang untuk maju ke hadapan demi mencapai khaira ummah.

Insya-Allah, kita sebagai generasi belia Islam hari ini dapat memenuhi aspirasi ummah dengan mencipta kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.

Konklusinya, berikut yang telah diterangkan adalah beberapa destinasi yang pelajar Lepasan SPM 2010 boleh pilih. Banyak lagi sebenarnya tetapi ini pun sudah mencukupi untuk merangkumkan segalanya. Saya doakan anda berjaya kelak!!


Sumber : Saudara Muhd Khairul Fakrullah Bin Mohd Noh di laman LepasanSPM.com

No comments: