Tuesday, August 30, 2016

Country Garden Pacificview Sdn Bhd dan KPYPJ Meterai Kerjasama Strategik




Laporan Junita Md Rasid Berita Harian Online

JOHOR BAHRU: Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) dan pemaju projek mega, Forest City iaitu Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memberi peluang kerjaya kepada lepasan institut pendidikan berkenaan.

Antara lain, perjanjian itu membabitkan pembiayaan pengajian kepada pelajar KPYPJ yang terpilih, selain pertukaran amalan baik dari segi pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua pihak bagi memenuhi piawaian sektor hospitaliti.
Menerusi MoU itu, CGPV akan menempatkan pelajar berpotensi, selain menguruskan keperluan bakat dan pekerjaan, manakala KPYPJ akan memantau program latihan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja.

MoU ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abdul Rashid A Rahman, manakala CGPV diwakili Pengarah Eksekutifnya, Datuk Md Othman Yusof dan Presiden Serantau (Malaysia) Country Garden Holdings, Jason Fu.
Majlis disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Datuk Md Jais Sarday dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor, R Vidyananthan.

Md Othman dalam ucapannya berkata, pihaknya menyasarkan pengambilan sehingga kira-kira 300 pelajar KPYPJ untuk menyertai pelbagai sektor pekerjaan di Forest City dengan sasaran 110 pelajar bermula tahun ini.

"Program ini membabitkan pelajar KPYPJ daripada jurusan pengurusan perhotelan dan pelancongan, pengajian perniagaan serta pengurusan sumber manusia.
"Setakat ini seramai 25 pelajar KPYPJ dengan sebahagian besarnya daripada kursus pengurusan perhotelan, kulinari dan pelancongan sudah diambil bekerja dalam sektor berkaitan di Forest City," katanya.

Md Othman berkata, pengambilan pelajar KPYPJ itu juga bersesuaian dengan pembukaan hotel di Forest City yang dijangka beroperasi akhir Oktober ini.
Katanya, dalam kerancakan pembangunan Forest City, pihaknya tidak melupakan pembabitan penduduk tempatan terutama rakyat negeri ini dan seluruh negara, sekali gus memastikan limpahan ekonomi pembangunan di kawasan sekitarnya.

No comments: